mutakhir

Wanita ditahan, tunggang motosikal curi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Merbok, Sungai Petani ditemui semula selepas polis menahan seorang wanita dalam Op Samseng Jalanan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal jenis Honda RS150R itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, dia ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang pada jam 6 petang semalam di Jalan Batu 16, dekat sini.

"Hasil pemeriksaan terhadap motosikal itu menggunakan alat peranti peralatan sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) mendapati nombor casis dan nombor enjin motosikal itu mempunyai rekod hilang bersangkut dengan laporan di Merbok.

"Berikutan itu polis menahan wanita terbabit dan merampas motosikal itu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, wanita itu ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 25, 2022 @ 12:13pm
d