mutakhir

Lima tahun 'tak perasan' cukai jalan mati [METROTV]

Khairulmizan Yahya

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bertindak menyita sebuah kereta kerana dipandu dengan cukai jalan tamat tempoh pada tahun 2017, pada Ops Ambang Tahun Baharu, di sini, malam tadi.

Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 40-an itu antara 2,692 kenderaan termasuk kereta dan motosikal yang diperiksa, dan 285 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan pada operasi berkenaan yang dijalankan di Jalan Tanjung Lumpur, di sini.

Operasi bermula 9 malam dan berakhir kira-kira 2 pagi itu membabitkan 77 pegawai dan anggota termasuk 45 penguat kuasa JPJ Pahang, selain daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, 402 saman dan 78 notis dikeluarkan dengan kesalahan cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh paling banyak dikesan sepanjang operasi terbabit.

"Kebanyakan mereka memberi alasan tidak perasan, tidak tahu atau tidak sedar yang cukai jalan kenderaan atau lesen memandu mereka sudah tamat tempoh, walaupun alasan itu sebenarnya tidak logik.

"Kita mengambil tindakan tegas untuk kesalahan yang dilakukan kerana apa yang penting bagi kami adalah keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika ditemui media pada operasi berkenaan.

Selain itu, pihaknya mengambil tindakan menyita empat kenderaan iaitu masin-masing dua kereta dan motosikal, manakala JPN juga menyita kad pengenalan seorang individu kerana memiliki dua kad pengenalan.

Jelasnya, operasi ambang tahun baharu diadakan serentak di empat lokasi tumpuan di seluruh negeri ini.

Disiarkan pada: January 1, 2023 @ 9:42am
d