mutakhir

Ibu sebak, hajat anak makan KFC tertunai

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: "Lega rasanya apabila hajat anak sejak sekian lama untuk makan ayam goreng kesukaannya (KFC) sejak sekian lama akhirnya tercapai.

"Sebagai ibu, tersentuh hati apabila melihat reaksinya yang menikmati hidangan dipesan dengan bersungguh-sungguh," ujar asnaf, Azlina Abdullah.

Azlina, 42, berkata, hampir tiga tahun, anak tunggalnya Muhammad Amirul Aiman Abd Rasid, 11, meluahkan hasrat supaya membawanya ke restoran makanan segera itu kerana ingin menikmati ayam goreng.

"Bukan tidak mahu tunaikan permintaannya itu tetapi saya tidak berkemampuan, duit yang ada cukup untuk perbelanjaan harian sahaja.

"Boleh dikatakan, kerap juga dia memberitahu teringin untuk makan ayam KFC, tetapi saya minta supaya bersabar, kalau ada rezeki lebih nanti saya belikan," katanya.

Azlina dan anaknya itu ditemui selepas Program Wayang Sekampung Merlimau yang dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh, di sebuah pusat beli-belah di Bandar Hilir, di sini, baru-baru ini.

Menurut ibu tunggal itu, semasa arwah bapa Muhammad Amirul Aiman ada, suaminya agak kerap membawa anak mereka ke restoran makanan segera terbabit.

"Selepas kematian suami dan saya tidak lagi dapat bekerja akibat kemalangan, jadi kami hanya bergantung kepada pencen arwah untuk meneruskan kehidupan.

"Jadi apabila YB mengajak kami bersama-sama untuk menonton wayang dan belanja makan, syukur yang tidak terhingga. Sekurang-kurangnya, cuti sekolah kali ini, ada sesuatu yang bermakna untuk anak," katanya.

Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, pada program itu, asnaf termasuk anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau terpilih untuk menyaksikan filem animasi, Mechamato.

Disiarkan pada: January 2, 2023 @ 10:56am
d