mutakhir

Pemuda dikhuatiri lemas selepas gagal menyeberangi sungai

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sik: Pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika cuba menyeberangi sungai ketika berkhemah bersama rakannya di kawasan Tasik Gubir, di sini semalam.

Muhammad Amirul Akmal Rashid, 29, dari Kuala Nerang dikatakan sudah berkhemah di kawasan itu bersama tujuh rakan sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, antara aktiviti dilakukan mereka adalah menangkap ikan dan pada pagi hari kejadian, mangsa bersama empat rakan menaiki bot untuk memancing di kawasan tasik

Katanya, dua rakan lain tidak menyertai mereka dan berada di tapak perkhemahan.

"Bagaimanapun pada 1.30 tengah hari, mereka berlima kembali ke tapak perkhemahan itu untuk menjala ikan di tepi sungai berhampiran.

"Mangsa cuba turun dari bot sebaik tiba, namun aliran sungai yang tiba-tiba deras menyebabkan dia dan rakannya panik serta cuba melarikan diri ke tebing sungai.

"Ketika itu mangsa tidak sempat sampai ke tebing dan hanyut dibawa arus deras sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian pada 5.30 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sebelum ditangguh pada 7.30 malam.

Operasi bersambung semula 8 pagi ini yang turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 9:30am
d