mutakhir

Lelaki lemas bot terbalik

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya terbalik di Sungai Tandop, Taman Osman Aroff, di sini hari ini.

Mangsa, Hussain Hassan, 49, ditemui lemas sekitar jam 4 petang oleh sepasukan anggota Bomba yang melakukan pencarian di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika kejadian dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang sehingga ke tebing.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh syarikat utiliti untuk melakukan kerja pemasangan kabel di permukaan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu melalui panggilan MERS 999 berhubung seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai dan dikhuatiri lemas pada jam 3.20 petang.

Beliau berkata, Ketua Polis Balai Jitra, Asisten Superintendan Abi Suhaimi Ali bersama pasukannya pergi ke lokasi kejadian dan mendapati pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra sedang melakukan pencarian mangsa di sekitar lokasi kejadian.

"Ketika operasi pencarian dilakukan, pihak bomba berjaya menemui mangsa di dalam sungai berkenaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Mangsa kemudian dibawa naik ke darat untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, hasil temubual dari rakan mangsa memaklumkan, mangsa dan dua rakannya ketika itu sedang melakukan kerja pemasangan kabel elektrik di permukaan sungai sebelum bot yang dinaiki mereka terbalik disebabkan oleh arus sungai yang deras.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra (HJ) untuk proses bedah siasat.

"Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya.

Rodzi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 8:51pm
d