mutakhir

Arwah Wahab 'ringan tulang' bantu keluarga sejak remaja [METROTV]

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Pemergian buat selama-lamanya Abdul Wahab Mat Sulaiman, 27, yang juga anak sulung daripada empat beradik meninggalkan kesan mendalam buat keluarganya.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari tingkat lima hutan lipur Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, di sini, ketika menyelenggara saluran paip di lokasi itu pada 25 Disember lalu.

Bapanya, Mat Sulaiman Abdullah, 58, berkata arwah anaknya seorang yang pendiam, namun sangat 'ringan tulang' membantu keluarga sejak usia remaja.

"Dia sempat mengikuti pengajian di sekolah pondok selama beberapa tahun sebelum melakukan pelbagai kerja untuk membantu keluarga.

"Jika sesiapa sahaja yang meminta tolong untuk melakukan sesuatu, dia akan segera lakukan tanpa bertangguh.

"Pagi sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan pergi ke tempat kerja bersama adiknya seperti biasa di Lata Tembakah," katanya.

Mat Sulaiman berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 oleh Skuad Perkeso Prihatin di rumahnya di Kampung Durian Telor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu Farihah Che Husin.

Sementara itu, Farihah berkata, walaupun arwah baru sebulan bekerja dengan majikan baru, dia mempunyai rekod caruman dengan beberapa majikan sebelum ini sekali gus warisnya layak menerima Faedah Pencen Penakat serta Faedah Pengurusan Mayat.

"Kedua ibu bapa arwah menerima Faedah Pencen Penakat berbentuk pencen bulanan untuk seumur hidup, manakala adik-beradik arwah seramai tiga orang pula menerimahnya sehingga mereka berusia 21 tahun.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan kerana arwah meninggal dunia ketika menjalankan pekerjaan yang boleh melayakkan waris menerima Faedah Orang Tanggungan dengan kadar faedah pencen lebih tinggi," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2023 @ 4:02pm
d