mutakhir

Ceroboh Menara Merdeka 118: Saifuddin tunggu laporan siasatan penuh

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu media memberi ruang kepadanya untuk mendapatkan laporan penuh siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di sini, baru-baru ini.

Saifuddin berkata, insiden berkenaan sudah dimaklumkan kepadanya namun pramatang untuk beliau mengulas selagi belum mendapat laporan penuh pihak berkuasa.

"Adalah pramatang untuk saya beri sebarang jawapan dahulu. Saya diberi maklum proses siasatan sedang dibuat, bagi ruang untuk saya dapat laporan penuh sebelum mengulas," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu ketika ditanya sama ada pihak berkuasa sudah mengenal pasti keberadaan pasangan berkenaan dan status siasatan terkini insiden berkenaan.

Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya memaklumkan, sudah memperoleh laporan analisis pemilik media sosial pasangan Rusia itu.

Katanya, analisis forensik dijalankan ke atas video dimuat naik pasangan terbabit di media sosial selain bantuan daripada Jabatan Imigresen (Imigresen) bagi mengesan kemasukan perjalanan keluar masuk negara pasangan Rusia berkenaan.

Disiarkan pada: January 5, 2023 @ 6:38pm
d