mutakhir

Timbalan Pengarah HTF tak mengaku salah seleweng elaun Covid-19

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan menyeleweng dan salahguna kuasa berhubung pemberian elaun Covid-19 oleh kerajaan negeri Perlis kepada petugas barisan hadapan hospital itu tiga tahun lalu.

Tertuduh, Norhisham Hassan, 44, yang juga pegawai tadbir dan diplomatik Gred M52 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norhisham didakwa menipu 10 kakitangan HTF dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa dia sudah menerima wang bantuan 'one-off' Elaun Covid-19 Kerajaan Negeri Perlis sebagai salah seorang barisan hadapan kakitangan atau pegawai HTF bagi tahun 2020.

Malah, tertuduh dengan curangnya mendorong setiap seorang daripada mereka untuk menandatangani dokumen rekod yang mengesahkan penerimaan wang bantuannya bernilai RM400.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di HTF pada 27 April hingga 29 April 2020.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rehab mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta dikehendaki melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis setiap bulan.

Tertuduh bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mampu untuk membayar jumlah berkenaan kerana mempunyai komitmen lain dan perlu membayar pinjaman bank setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh membayar RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum itu dipanggil ke Pejabat SPRM Negeri Perlis petang semalam untuk membantu siasatan sebelum ditahan.

Disiarkan pada: January 6, 2023 @ 12:29pm
d