mutakhir

Nelayan pantai Tanjung Dawai sengsara angkara pukat mata 300 [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Lebih 1,000 nelayan pantai di Tanjung Dawai di sini terjejas pendapatan selepas hasil tangkapan ikan mereka semakin berkurangan sejak enam bulan lalu akibat penggunaan pukat mata 300 atau jaring halus yang tidak terkawal.

Rata-rata nelayan yang turun ke laut pulang dengan tangan kosong selepas ikan di perairan berdekatan dikatakan semakin pupus akibat penggunaan kaedah itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Nelayan yang juga pemilik bot, Md Rozi Md Nor, 52, berkata dia terpaksa mengisi petrol sehingga RM400 demi mencari ikan sehingga sempadan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi namun hasil tangkapan sangat menghampakan.

"Jika angin kuat, kami terpaksa patah balik ke jeti, namun jika cuaca mengizinkan kami akan berusaha mencari ikan sehingga ke sempadan perairan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, tapi hasil tangkapan sangat sedikit.

"Bot yang menggunakan pukat mata 300 menyebabkan ikan-ikan kecil dikaut, bot ini selalunya beroperasi pada waktu malam," katanya.

Menurutnya, jika tiada penguatkuasaan yang ketat oleh pihak berkuasa, tidak mustahil ikan di perairan itu akan pupus dan nelayan akan hilang mata pencarian.

"Biasanya langsung tiada tangkapan, kadang-kadang dapat hanya 20 kilogram dan selepas dijual kepada peraih, saya dapat antara RM100 hingga RM120 sehari, tidak balik modal sebab petrol untuk bot sahaja sudah RM400.

"Saya perlu bayar upah awak-awak seramai empat orang, kalau langsung tiada tangkapan maka tiada upah untuk mereka. Kalau ada ikan sikit seperti hari ini, saya beri mereka RM10 seorang," katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan.

Md Rozi berkata, dia dan awak-awak dan beberapa buah bot lain pernah pergi mencari ikan sehingga sempadan perairan Pulau Pangkor, Perak namun ditahan pihak berkuasa di sempadan perairan kerana tidak mempunyai lesen.

Katanya, permohonan lesen kepada Jabatan Perikanan sudah dibuat sejak tiga tahun lalu namun belum diluluskan.

"Saya harap pihak Jabatan Perikanan dapat luluskan lesen kami dengan segera, ramai lagi pemilik bot yang belum mendapat lesen walaupun permohonan belum sudah dibuat, "katanya.

Nelayan, Nor Naim Mohd Noor,37, berkata dia tidak mempunyai sebarang pendapatan sejak dua minggu lalu selepas tidak berhasil membawa pulang tangkapan.

Katanya, bot pukat mata 300 sudah mengaut semua ikan terutama ikan kecil.

"Tahun 2022 paling teruk pendapatan kami terjejas kerana ikan berkurangan selain keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Dulu pada 2020 saya pernah dapat RM300 sehari tapi sekarang hendak dapat sekilogram ikan pun susah.

"Hidup kami sekarang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak semua antara kami menerima elaun sara hidup nelayan, ini kerana kerajaan hanya hadkan hanya dua orang nelayan atau awak-awak akan mendapat elaun berkenaan bagi sebuah bot A, sedangkan yang bekerja dalam bot seramai empat atau lima orang," katanya yang mempunyai dua orang anak masih kecil.

Nor Naim berkata dia sangat berharap kerajaan dapat menilai kembali prosedur pemberian elaun sara hidup nelayan kerana masih ramai yang tidak menerima elaun berkenaan.

"Elaun itu sekurang-kurangnya dapat membantu kami untuk membeli barang keperluan ketika kami tiada ikan seperti ikan," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2023 @ 12:55pm
d