mutakhir

Denda RM10,000 mampu kekang lumba haram

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan menaikkan denda sehingga RM10,000 berbanding RM300 mampu mengekang kegiatan lumba haram dan mat rempit.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, cadangan itu adalah wajar bagi mencegah aktiviti berkenaan.

"Saranan pindaan akta itu adalah sangat wajar kerana ianya betujuan untuk mendidik terutama bagi golongan muda dan ibu bapa yang membenarkan anak-anak mengubahsuai motosikal dan terbabit dengan aktiviti lumba haram.

"Selain itu, cadangan pindaan akta itu juga dilihat lengkap apabila pengusaha bengkel yang melakukan pengubahsuaian motosikal juga boleh dikenakan denda,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun, kerajaan perlu mewujudkan satu insiatif lain but golongan muda untuk mereka melakukan hobi bermotosikal.

"Antaranya ialah mewujudkan lebih banyak litar motosikal, dengan adanya litar motosikal ini mereka boleh mempamerkan bakat sukan permtoran ditempat yang betul.

"Litar yang ada kini tidak mencukupi, malah penyelenggaraan juga tidak bagus selain caj yang dikenakan terlalu tinggi," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan menaikkan denda sehingga RM10,000 berbanding RM300 yang dikenakan sekarang bagi kesalahan mengubahsuai ekzos dan enjin motosikal.

Selain itu, mereka yang menyertai lumba haram juga bakal berdepan hukuman penjara mengikut peruntukan baharu dalam akta berkenaan, jika disabitkan bersalah di mahkamah.

Malah, dalam cadangan pindaan itu, ibu bapa yang membenarkan motosikal mereka digunakan untuk tujuan lumba haram dan pengusaha bengkel yang melakukan pengubahsuaian kepada kenderaan dua roda itu juga boleh dikenakan denda.

Disiarkan pada: January 6, 2023 @ 3:36pm
d