mutakhir

Turap jalan besar-besaran di Selangor Mac ini

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Kerajaan Selangor akan melaksanakan penurapan jalan secara besar-besaran di negeri ini membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata, projek itu akan dilaksanakan pada Mac ini membabitkan jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kecuali Jalan Persekutuan.

"Saya sudah berbincang dengan menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kaedah untuk memastikan jalan persekutuan termasuk lebuh raya dalam keadaan baik.

"Penyelenggaraan yang begitu longgar menyebabkan banyak aduan diterima mengenai jalan persekutuan yang memerlukan bajet khas untuk dibaiki," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, pada Mac tahun lalu, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya tahun ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dipetik berkata, sebanyak RM40.98 juta diagihkan kepada JKR untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi.

Katanya, antara lokasi yang terbabit adalah Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Disiarkan pada: January 9, 2023 @ 8:09pm
d