mutakhir

Bayi lelaki koma, tiga kakitangan Taska disiasat [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Tiga kakitangan taman asuhan kanak-kanak (taska) di sini, ditahan selepas dipercayai mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma, Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suspek wanita berusia 22 hingga 33 tahun ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di premis berkenaan, di sini, semalam.

Katanya, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa berusia 29 tahun, Rabu lalu.

"Berdasarkan laporan, bapa mangsa yang bekerja sebagai Pegawai Perubatan mendapati berlaku pendarahan dalam otak selain keretakan pada tempurung kepala bayi terbabit.

"Susulan itu, tiga suspek terbabit dipanggil memberi keterangan, namun menafikan kejadian selain keterangan mereka meragukan.

"Bagaimanapun, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan mendapati suspek bertindak memukul kepala mangsa dengan tangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu Januari 2023 di pekarangan IPK Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesan daripada perbuatan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berlaku keretakan pada tempurung kepala.

"Kecederaan dialami mangsa serius dan masih dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kesemua suspek terbabit direman selama enam hari bermula hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2023 @ 12:06pm
d