mutakhir

Keluarga buntu perlu RM100,000 bawa pulang anak koma di Makkah

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Temui ketenangan dan keseronokan apabila melihat keindahan Tanah Suci sehingga terbit rasa tidak mahu pulang.

Itu luahan hati jemaah umrah Malaysia, Fatin Amirah Rosli, 26, kepada kakaknya sebelum tidak sedarkan diri akibat terjatuh di tandas bilik hotel di Makkah, 29 Disember lalu.

Kakaknya, Fatin Amalina,29, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu menunaikan umrah bersama bapanya, Rosli Nawi,56 serta dua adik lelaki mereka 20 Disember lalu.

"Kali terakhir saya berborak dengan Mira sehari sebelum kejadian, dia beritahu tidak tergambar perasaan tenang dan seronok terutama apabila tiba di Madinah sampaikan rasa macam tak nak balik.

"Saya anggap mungkin dia sangat teruja kerana kali pertama dapat menjejakkan kaki di sana dan dia sebenarnya ke sana mahu menunaikan nazar arwah mak yang bernazar membawanya, namun tak kesampaian kerana arwah meninggal dunia Julai tahun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, mereka berempat sepatutnya pulang ke Malaysia pada 1 Januari lalu, namun kejadian menimpa mengakibatkan hanya dua adik lelaki mereka berlepas ke tanah air manakala bapa mereka masih di Tanah Suci menunggu perkembangan Fatin Amirah.

"Pada hari kejadian, dia masuk tandas sebelum waktu subuh. Kami syak mungkin dia pening sebelum terjatuh hingga membuatkan bibirnya pecah.

"Tetapi nasib baik sebelum pengsan, dia sempat menjerit dan ayah berjaya membuka pintu dan membawanya terus ke unit kecemasan di Hospital Ajyad, Makkah.

"Doktor meminta kebenaran untuk tidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana ada darah beku dalam paru-paru dan jantungnya," katanya.

Jurupulih perubatan itu berkata, Fatin Amirah kemudiannya dirujuk ke King Abdullah Medical City untuk rawatan lanjut dan kini masih tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan oksigen.

"Keputusan MRI (Pengimejan Resonans Magnet) mendapati otaknya rosak teruk kesan ketiadaan oksigen semasa jantungnya terhenti kira-kira 10 minit pada petang kejadian.

"Doktor memberitahu kes macam ini mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk sedar," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga masih menunggu keputusan doktor bagi memberi kebenaran membawa Fatin Amirah pulang ke Malaysia.

"Doktor meminta masa untuk mereka membuat keputusan sehingga Ahad ini dan pihak hospital masih belum memaklumkan jumlah kos rawatan.

"Cuma pihak Kedutaan Malaysia ada memberitahu kos untuk membawa pulang ke Malaysia yang bernilai RM100,000 perlu ditanggung keluarga.

"Kami buntu, malah ada juga minta sedikit dengan saudara mara dan rakan, namun dana itu masih belum mencukupi," katanya.

Di sebalik itu katanya, mereka sekeluarga bersyukur bapanya tidak keseorangan menghadapi dugaan itu kerana ramai rakyat Malaysia yang menetap di sana menghulurkan bantuan.

"Setakat ini perbelanjaan ayah masih mencukupi. Ramai juga rakyat Malaysia di sana memberi bantuan dari segi makanan dan menjadi penterjemah ayah bersama doktor di hospital.

"Kami sekeluarga mohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk adik saya semoga ada keajaiban buatnya selain turut mengharapkan kos membawanya pulang ke tanah air berjaya dikumpul," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu dan meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan di akaun Maybank 164191950759 atas nama Rosli Nawi.

Disiarkan pada: January 12, 2023 @ 11:06am
d