mutakhir

Umno Wilayah Persekutuan tolak usul jawatan Presiden, Timbalan Presiden tak dipertandingkan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Umno Wilayah Persekutuan menolak usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dibentangkan Umno Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafiue berkata, usul berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan parti.

Menurutnya, pelbagai pandangan dilontarkan mengenai isu itu dan jika tidak diberikan perhatian serius mungkin akan memberi kesan bukan saja kepada dalaman parti malah pengundi di luar.

"Umno adalah parti politik bersifat rasional dan terbuka. Sesiapa saja dipilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu daripada ahli parti pada akhirnya.

"Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif negatif," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kepimpinan parti harus sedia melakukan perubahan demi memartabatkan parti dan bangkit semula.

"Kita buang yang keruh dan carilah yang jernih. Ikhlaskan hati dan selarikan dengan perbuatan dalam kita menuju ke hadapan.

"Masih belum terlambat untuk beri nafas baru dan segar, mungkin kita semua termasuk saya banyak buat kesilapan tapi takkan kita nak membiarkan kesilapan ini berterusan jika kita sedar cabaran berliku di hadapan sana," katanya.

Semalam, dewan perhimpunan berkenaan hangat apabila perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Usul yang dikemukakan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan yang mana ada suara teriakan 'boo' dan ada juga bertepuk tangan.

Disiarkan pada: January 14, 2023 @ 11:20am
d