mutakhir

Pengasuh mengaku tidak bersalah dera bayi hingga koma [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh tuduhan mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga tujuh, wanita itu didakwa menganiayai mangsa yang berusia empat bulan sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taska di daerah ini antara 1 hingga 3 Januari lalu dan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh di Taska di daerah ini.

Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.

Disiarkan pada: January 15, 2023 @ 12:25pm
d