mutakhir

Sisa khinzir atas jalan tidak berkait ASF

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Sisa khinzir yang bertaburan di atas Jalan Pokok Tampang menghala Lahar Yooi, di sini tiada kaitan dengan penyakit demam babi Afrika (ASF) yang menyerang beberapa ladang ternakan babi di Pulau Pinang ketika ini

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima maklumat daripada orang ramai berhubung sisa itu pada 6 pagi semalam.

"Hasil pemantauan di lokasi mendapati sisa khinzir itu adalah hasil penyembelihan yang ingin dibawa ke tapak pelupusan untuk dilupuskan.

"Kerja-kerja pembersihan kemudian dijalankan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan kakitangan syarikat haiwan ternakan terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Peruntukan Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu, gambar sisa ternakan itu tular di media sosial yang membangkitkan kegusaran ramai susulan penularan wabak ASF di negeri itu.

Jumaat lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan demam ASF sebagai bencana selepas tujuh ladang ternakan babi dijangkiti wabak itu.

Disiarkan pada: January 15, 2023 @ 12:45pm
d