mutakhir

Lumpuh bukan penghalang cari rezeki

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Jitra: Dilahirkan lumpuh dari pinggang hingga kedua belah kaki, namun Ismail Hasin, 55, tidak pernah patah semangat untuk berusaha mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarganya.

Ismail yang juga orang kurang upaya (OKU), berkata dia tidak pernah menjadikan kecacatan untuk hanya duduk di rumah dan mengharapkan bantuan semata-mata.

Katanya, menggunakan motosikal roda tiga, dia mencari rezeki mengusahakan perniagaan kecil menjual gas memasak dan petrol di rumahnya di Kampung Pida 4 1/2, Jerlun.

"Motosikal ini diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2004, saya syukur kerana dengan motosikal yang diubah suai ini dapat diri ini mencari rezeki.

"Setiap hari selepas hantar anak ke tadika, saya akan singgah stesen minyak yang terletak dua kilometer dari rumah untuk membeli bekalan petrol untuk dijual kepada pengguna di kampung.

"Saya memang tak boleh duduk saja, lebih baik buat kerja, walaupun pendapatan cuma RM5 sehari, saya tetap bersyukur kerana ia dapat menampung kehidupan saya, isteri dan anak," kata bapa kepada seorang anak ini.

Ismail yang mesra disapa Pakcik Mail berkata, isterinya, Sofiah Mahmud, 34, yang juga pemegang kad OKU, banyak membantu termasuk mengisi petrol ke dalam botol.

"Untung jual petrol cuma 30 sen sahaja sebotol, cuma jika dapat jual gas boleh untung RM1 bagi setiap tong.

"Isteri yang banyak bantu, saya tak dapat berjalan dan hanya mampu merangkak, dia yang angkat tong gas ke atas motosikal sebelum kami hantar ke rumah pelanggan," katanya yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2017.

Ismail berkata, kehidupan keluarganya juga tidak sunyi apabila dikurniakan anak, Mohammad Solehuddeen, 5.

"Selain berniaga kecil-kecilan, saya juga dapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 dan isteri dapat RM300.

"Wang bantuan ini kami guna beli barang keperluan serta menghantar anak belajar selain disimpan pada waktu kecemasan," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2023 @ 4:55pm
d