mutakhir

300 sekolah daif diberi perhatian dalam Belanjawan 2023 [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kementerian Pendidikan mengenal pasti lebih 300 sekolah daif di seluruh negara yang memerlukan penyelenggaraan segera sekali gus diberi perhatian dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sekolah daif adalah antara tujuh fokus utama kementerian bagi memastikan kebajikan dan keselamatan guru dan murid sentiasa diutamakan.

Katanya, semua sekolah daif terbabit akan disenaraikan secara terperinci bagi membolehkan jumlah peruntukan bersesuaian diberikan menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentang bulan depan.

"Keseluruhannya terdapat lebih 300 sekolah daif di seluruh negara dengan 12 daripadanya di Johor.

"Kementerian akan senaraikan secara terperinci sekolah daif berkenaan supaya peruntukan bagi penyelenggaraan dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2023. Memang keutamaan kementerian untuk tangani isu sekolah daif dan kita akan cuba memohon peruntukan lebih tinggi.

"Selain isu sekolah daif, kementerian turut akan menumpukan isu utama lain dalam Belanjawan 2023 termasuk kebajikan guru dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT)," katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan (P)Bandar Tinggi di sini, hari ini.

Terdahulu, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan khas RM500,000 untuk SK Perempuan Bandar Tinggi berikutan sekolah berusia hampir 100 tahun itu mengalami kerosakan serius di bangunan papan yang menempatkan pejabat dan bilik guru.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Kementerian Pendidikan turut sedang mengenal pasti bilangan kuarters guru yang memerlukan penyelenggaraan serta ditambah baik.

"Ada beberapa kuarters guru yang sudah kita kenal pasti untuk diperbaiki bagi memberi keselesaan kepada guru. Namun jumlah sebenar kuarters daif akan diumumkan dari semasa ke semasa.

"Kita melihat isu kuarters yang tidak diselenggara ini sebagai isu yang membabitkan kebajikan guru jadi keprihatinan terhadap isu ini agak besar. Berikan kita masa sedikit untuk melihat isu ini supaya usaha pembaikan itu dapat dilakukan segera," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2023 @ 1:19pm
d