mutakhir

2 lelaki ditahan kurang 3 jam selepas larikan Toyota Hilux

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dua lelaki ditahan polis kurang tiga jam selepas melarikan pacuan empat roda Toyota Hilux di sebuah kedai menjual kenderaan terpakai di Jalan Langgar di sini, semalam.

Kedua-duanya yang berusia 43 dan 45 tahun itu ditahan pada serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Pendang serta Jitra.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, terdahulu, seorang daripada suspek mengunjungi kedai berkenaan jam 10.30 pagi, dan berpura-pura mahu membeli Toyota Hilux itu.

"Bagaimanapun, suspek melarikan kenderaan itu sebelum pemilik kedai membuat laporan polis.

"Hebahan berkaitan kejadian dibuat sebelum anggota IPD Kota Setar berjaya mengesan suspek pertama dan menahannya di sekitar Pendang jam 1.30 tengah hari," katanya hari ini.

Menurut beliau, susulan itu, suspek kedua dapat ditahan di Jitra jam 3 petang, hari yang sama.

"Kami menemukan semula Toyota Hilux berkenaan selain merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Jitra.

"Kedua-dua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2023 @ 12:27pm
d