mutakhir

Bernas terima anugerah Platinum AIGA 2022 [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022, julung kali dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) menyaksikan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dinobatkan sebagai penerima anugerah Platinum.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan piala Platinum kepada Pengarah Urusan Kumpulan Bernas Datuk Haris Fadzilah Hassan di Auditorium IIM, di sini, malam ini.

Antara amalan terbaik Bernas yang unik adalah saluran pendedahan maklumat bebas yang diuruskan pihak ketiga.

Impak pelaksanaan terbukti melalui peningkatan jumlah laporan diterima yang jelas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pemberi maklumat mengenai kebebasan dan keselamatan organisasi untuk melaporkan sebarang kesalahan integriti dan rasuah dalam organisasi berkenaan.

Kategori Platinum dipilih daripada lima penerima Anugerah Emas utama yang mendapat markah tertinggi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),Bernas, Johor Port Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Northport Bhd.

Anugerah AIGA 2022 turut merangkumi 16 Anugerah Emas, 34 Anugerah Perak dan 42 Anugerah Gangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, buat julung kalinya IIM memperkenalkan AIGA di peringkat kebangsaan sebagai satu mekanisme untuk mengukur komitmen, usaha serta keberkesanan inisiatif integriti dan tata kelola dalam organisasi.

Menurutnya, pihaknya menerima 116 penyertaan dari organisasi merangkumi sektor awam dan swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 92 organisasi terpilih menerima anugerah yang merangkumi 16 anugerah emas, perak (34), gangsa (42)," katanya.

Katanya, penganjuran AIGA akan menjadi acara tahunan IIM dengan kriteria penilaian AIGA akan sentiasa ditambahbaik pada tahun akan datang.

"AIGA juga berupaya menyokong agenda ke-16 di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang mensasarkan antara lain mengurangkan sebahagian besar suapan dan rasuah dari pelbagai bentuk.

"Sekali gus membangunkan institusi yang efektif, bertanggungjawab dan telus di semua peringkat menjelang tahun 2030," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2023 @ 11:04pm
d