mutakhir

Diserang dengan parang kerana tegur bising

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Hanya kerana tidak berpuas hati selepas ditegur membuat bising di restoran di Taman Segar Perdana, Cheras, seorang lelaki bersama rakannya menyerang pekerja di situ dengan parang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada jam 9.25 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima satu maklumat daripada seorang wanita memaklumkan terlihat dua lelaki bersenjatakan parang menetak tangan lelaki berusia 46 tahun di hadapan restoran makan di Taman Segar Perdana, Cheras, di sini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek sebelum itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang juga pekerja di restoran itu menegurnya membuat bising apabila minuman yang dipesan lewat dihantar.

"Kemudian, suspek dihalau keluar dari restoran menyebabkan dia datang semula membawa senjata parang dan menyerang mangsa bersama seorang lagi rakan suspek.

"Dalam kejadian ini, mangsa patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pada 3 pagi semalam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah daerah Kajang menahan suspek berusia 44 dan 47 tahun di Taman Cheras Permata, Kajang.

"Turut dirampas, dua parang dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.

"Suspek kini direman selama lima hari sehingga 22 Januari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 2:14pm
d