mutakhir

Afro Kopi lambang kasih buat suami hilang upaya

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Balik Pulau: Demi kasih kepada suami, seorang wanita berhenti kerja dan berkorban masa untuk menguruskan insan kesayangannya yang tidak boleh berjalan serta bercakap akibat diserang angin ahmar hampir dua tahun lalu.

Malah, Norhaslyna Usman, 40, turut mengambil risiko dan cabaran mendalami 'dunia' kopi dengan membuka gerai kecil menggunakan jenama Afro Kopi di hadapan rumah mereka di Kampung Sungai Rusa, di sini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, gerai kecil itu adalah hasrat dan impian suaminya Isyareza Ezzuddin, 40, yang lumpuh di bahagian kanan badan ketika masih sihat dulu kerana dia sangat 'mencintai' minuman berasaskan kopi.

"Suami diserang strok dan pembuluh darahnya pecah. Keadaan suami ketika itu menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah pada otak dan tempurung kepala bahagian kiri suami ditebuk.

"Kesan pembedahan itu menyebabkan suami saya tidak boleh bercakap serta menguruskan dirinya. Saya nekad berhenti kerja pada September 2021 kerana tidak mahu meninggalkan suami di rumah.

"Untuk meminta bantuan orang menjaganya, saya perlu memikirkan aurat dia kerana suami memakai lampin pakai buang kerana perlu diuruskan selalu selain tiada wang untuk membayar upahnya," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurut Norhaslyna, selepas berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah, dia membuka perniagaan air kopi menggunakan modal hasil pengeluaran wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Mac tahun lalu.

Katanya, ketika hasrat itu diberitahu kepada Isyareza, suaminya memberikan reaksi gembira dengan menganggukkan kepalanya berulang kali kerana membuka gerai kopi sendiri memang impiannya ketika sihat dulu.

"Suami tidak boleh bercakap, tetapi dia masih faham apa kita cakap dengannya. Reaksi dia gembira dan saya tahu dalam masa sama suami sedih sebab tidak dapat membantu saya.

"Sejak itu saya mula belajar dan mencuba beberapa kali untuk membuat air kopi sendiri dengan mengikut kursus dan mendapat tunjuk ajar beberapa pihak termasuk guru saya," katanya yang memiliki dua anak berusia lapan dan 10 tahun.

Menurutnya, pendapatan utama mereka kini dengan jualan kopi, tetapi tidak menentu dengan hanya kira-kira RM1,000 sebulan selain suami turut menerima bantuan RM500 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya tahu suami sedih apabila saya menguruskan keluarga dan mencari rezeki seorang diri, tetapi ini menjadi tugas saya untuk membantunya yang hilang upaya. Sebelum ini suami mencari rezeki dengan bekerja di stesen minyak dan jurugambar sambilan.

"Kehidupan kami cukup-cukup makan saja, tetapi saya bersyukur kerana anak faham situasi kami dan saya akan utamakan keperluan lampin pakai buang suami dulu," katanya yang menjual beberapa jenis kopi.

Katanya, dia membuka gerai kopinya bermula 3 petang hingga 9 malam dan suaminya juga akan setia menemaninya berniaga.

"Susah juga masa mula berniaga dulu kerana orang di sini lebih suka minum kopi biasa tetapi sekarang Afro Kopi semakin dapat sambutan.

"Walaupun penat saya gembira menguruskan anak dan suami sambil mencari rezeki di depan rumah. Selagi mampu saya akan berusaha dengan kudrat sendiri untuk menjaga keluarga kami," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 2:33pm
d