mutakhir

Lari dari polis, lelaki didenda RM3,000

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang lelaki yang ditahan kerana melarikan diri bersama kekasihnya sejauh lebih 70 kilometer sebelum ditahan polis sebelum ini didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini.

Majistret, Hidayatul Syuhada Samsuddin turut memerintahkan agar tertuduh yang mengaku bersalah dikenakan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya beliau gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Danish Izzuddin Mohd Sharpie, 20, didakwa menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, media melaporkan tertuduh ditahan bersama kekasihnya iaitu seorang wanita berusia 18 tahun selepas terbabit dengan insiden mengejar sejauh lebih 70 kilometer.

Video kejadian berkenaan yang berdurasi 1 minit 15 saat tular di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 11.30 malam kelmarin.

Ketika kejadian, anggota sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan rekreasi Adda Height, Johor Bahru sebelum mendapati sebuah kereta Proton Persona diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu melakukan pemeriksaan, suspek tidak memberi kerjasama dengan bertindak mengundurkan kenderaan dan merempuh kereta peronda polis, sebelum bertindak cuba melarikan diri.

Tindakan suspek melarikan diri dikejar sehingga 10 buah kenderaan peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan juga Johor Bahru Utara.

Mereka berjaya ditahan di kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan sekitar Ayer Hitam selepas cuba melarikan diri.

Hasil semakan rekod lampau juga mendapati pasangan kekasih itu tiada rekod jenayah lampau atau kes berkaitan dadah sebaliknya mereka dipercayai melarikan diri selepas terkejut dihampiri kereta peronda.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 4:47pm
d