mutakhir

Penuntut UPM hilang sudah dibawa pulang ke Selangor oleh bapanya

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor, Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu, sudah dibawa pulang bapanya ke Selangor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Mohd Irfan dibawa pulang ke rumahnya selepas ditemui di Terminal Bas Larkin Sentral di sini, semalam.

"Orang hilang (Mohd Irfan) sudah dijumpai di Stesen Bas Larkin jam 5 petang semalam.

"Bapanya sudah bawanya balik ke rumah mereka di Selangor," katanya ringkas.

Ditanya berkaitan keadaan Mohd Irfan ketika ditemui, Raub memaklumkan yang lelaki terbabit sihat.

"Ketika ditemui, dia seorang diri dan dalam keadaan sihat," jelasnya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Mohd Irfan dikesan berada di sekitar daerah ini berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya.

Dilaporkan, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran, Mohd Irfan dilihat ada bersama seorang individu lain dipercayai rakannya.

Polis juga dilaporkan menemui motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang Mohd Irfan sebelum ditinggalkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.

Bapa Mohd Irfan membuat laporan polis Isnin lalu selepas tidak menerima maklum balas daripada anaknya itu ketika bertanyakan khabarnya sebelum terus gagal menghubunginya.

Disiarkan pada: January 20, 2023 @ 12:47pm
d