mutakhir

Hanya mercun Pop-Pop, Happy Boom dibenarkan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Subang Jaya: Polis hanya membenarkan orang ramai bermain mercun jenis bunga api Pop-Pop dan Happy Boom yang mengandungi bahan bakar tidak membahayakan keselamatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan itu dan dilarang bermain bunga api mengandungi kandungan bahan bakar berbahaya.

Beliau berkata, peringatan itu turut dikeluarkan bagi menegaskan mengenai larangan bermain, menjual dan membeli mercun berkuat kuasa pada semua sambutan perayaan.

"Polis hanya membenarkan bunga api Pop-Pop dan Happy Boom kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

"(Bagaimanapun) penjualan kedua-dua jenis mercun ini masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan dan mengikut spesifikasi seperti ditetapkan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Wan Azlan berkata, sesiapa yang menjual mercun tanpa permit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000.

"Bermain atau membakar mercun atau bunga api yang terlarang juga boleh dihukum penjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-dua sekali.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak bermain mercun untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2023 @ 1:44pm
d