mutakhir

Bukan niat nak 'hilangkan diri', mahu cari ketenangan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Serdang: Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditemukan di Johor Bahru, Johor selepas seminggu menghilangkan diri mendakwa hanya ingin mencari ketenangan untuk menghadapi peperiksaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, memberi kenyataan itu selepas ditemukan selamat di Stesen Bas Larkin, Johor Bahru, semalam.

"Individu berkenaan (Mohd Irfan Hakimi) ditemukan pada 5 petang oleh bapanya.

"Siasatan lanjut mendapati, dia ke Johor Bahru bagi menenangkan fikiran untuk menghadapi peperiksaan, tiada unsur jenayah dalam kejadian orang hilang ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penuntut UPM berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah dibawa pulang keluarganya ke Sabak Bernam, Selangor.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Mohd Irfan Hakimi yang dilaporkan hilang dari bilik asrama Blok Delima, Kolej Canselor, UPM sejak Jumaat lalu.

Bapa Mohd Irfan Hakimi membuat laporan polis Isnin lalu selepas usaha menghubungi anaknya itu tiada sebarang maklum balas.

Disiarkan pada: January 20, 2023 @ 3:48pm
d