mutakhir

Terpulang kepada kebijaksanaan pelanggan

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pelanggan perlu menjadi pengguna bijak dengan menggunakan hak mereka untuk menentukan kedai atau restoran di mana mereka mahu menjamu selera.

Demikian saranan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang berpandangan pengguna boleh membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing dalam berdepan cabaran ekonomi masa kini.

"Dalam hal ini, terpulang kepada kebijaksanaan pelanggan itu sendiri.

"Kalau kita rasa mahal dan di luar kemampuan, boleh pilih yang lain sebagai alternatif.

"Manakala, peniaga juga perlu memainkan tanggungjawab dengan menjual pada harga munasabah tetapi masih mendapat untung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Jawahar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran turun.

Menurut Jawahar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Ekonomi memantau pembekal yang membekalkan bahan mentah kepada peniaga, selain pemborong dan juga penternak supaya harga tidak melambung tinggi.

Katanya, bahan mentah perlu ada penurunan kekal dan kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi perlu beri pandangan serta perincian dalam soal itu.

"Selain itu, saya turut mengesyorkan kerajaan mengkaji semula caj tinggi dikenakan oleh syarikat e-hailing .

"Caj penghantaran mencecah 30 peratus dan ia agak tinggi serta ada hubung kait dengan pengguna kerana beri impak kepada mereka.

Semalam, Rafizi dalam kenyataannya memaklumkan kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.

Katanya, pengguna juga perlu lebih proaktif terhadap perubahan harga barangan dengan mengelak daripada berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

Disiarkan pada: January 22, 2023 @ 4:10pm
d