mutakhir

Pisau terpacak atas muka gaduh kerana mabuk

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Polis menahan empat pekerja kilang warga asing terbabit dalam pergaduhan di sebuah rumah di Taman Chai Leng Park, Perai di sini awal pagi semalam yang menyebabkan muka salah seorang daripada mereka ditikam di muka.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kejadian kira-kira 3.25 pagi itu dua daripada suspek mengalami kecederaan di muka dan tangan akibat terkena objek tajam manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, seorang daripada suspek ditikam dengan pisau di bahagian pipi dan pisau itu masih tertusuk pada wajahnya ketika dia menerima rawatan di hospital.

"Hasil siasatan mendapati, sebelum kejadian mereka minum minuman keras bersama-sama sehingga mabuk sebelum bergaduh.

"Pihak polis turut merampas sebilah pisau lipat sepanjang 15 sentimeter yang disyaki digunakan suspek," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 27 tahun itu direman selama empat hari bermula 22 hingga 25 Januari ini dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, beliau berkata seorang lagi lelaki warga asing berusia 24 tahun cedera di bahagian kening akibat dipukul rakan serumahnya yang juga warga asing menggunakan botol kaca, Sabtu lalu.

Kejadian jam 9.50 malam itu berlaku ketika suspek dan mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah medan selera di Bayan Lepas turut minum minuman keras sehingga mabuk sebelum berlaku perselisihan faham.

Beliau berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan pada jam 12.50 tengah malam tadi dan ditahan reman selama tiga hari sehingga esok dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 23, 2023 @ 12:52pm
d