mutakhir

Jangan seleweng makna 'sedekah' - Saarani [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta agar makna istilah 'sedekah' tidak diselewengkan sebagai perbuatan memberi ketika musim pilihan raya dengan niat mengikat hati pengundi.

Menteri Besar Perak itu berkata, amalan bersedekah khususnya kepada golongan susah yang memerlukan, namun mestilah bukan terhad kepada musim pilihan raya semata-mata.

"Kalau tiba-tiba musim pilihan raya pula (baru) hendak berbudi, itu bukan sedekah yang terpuji. Itu menyalah gunakan perkataan sedekah.

"Sekarang ramai pelajar dan mahasiswa di universiti yang susah hingga tak cukup makan. Jadi mana-mana parti politik berilah bantuan kepada mahasiswa terbabit. Jangan tunggu masa henda mendekati pilihan raya baharu hendak beri tambang balik.

"Janganlah anggap rakyat Malaysia tidak reti (tahu) sangat maksud sedekah," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Perasmian dan Pelancaran Projek Piccadilly @ Greentown di sini, hari ini yang disempurnakan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Kata Saarani lagi, setakat ini UMNO Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung jika terdapat calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu terpalit kontroversi memberi sebarang bentuk sumbangan kepada pengundi bagi meraih undi.

Beliau meminta jika terdapat calon sedemikian dikesan orang ramai, agar aduan berhubungnya disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tindakan sewajarnya.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 3:41pm
d