mutakhir

Lapor jika kena bayar lebih RM15,000 untuk ambil amah [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mengesan terdapat agensi pengambilan pembantu rumah di negara itu dan di negara ini yang mengenakan bayaran antara RM20,000 sehingga RM30,000 bagi mendapatkan seorang pekerja domestik.

Sehubungan itu, Konsul Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto, meminta rakyat Malaysia yang dikenakan bayaran melebihi RM15,000 oleh ejen bagi mendapatkan pembantu domestik warganya supaya membuat aduan kepada pihaknya.

Katanya, aduan itu penting bagi membolehkan agensi serta ejen berkenaan disenarai hitam sekali gus dilarang menyediakan perkhidmatan berkenaan lagi.

"Agensi pengambilan pembantu rumah hanya dibenarkan mengenakan bayaran maksimum RM15,000 seperti yang sudah tertakluk dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Indonesia dan Malaysia yang ditandatangani April lalu.

"Namun KJRI mendapat maklumat ada agensi mengenakan bayaran melebihi yang ditetapkan iaitu antara RM20,000 hingga RM30,000 dan perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab.

"Kami mohon majikan Malaysia yang membuat pembayaran lebih daripada RM15,000 supaya segera melaporkan kepada KJRI Johor Bahru supaya mereka dapat disenarai hitamkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra dan taklimat media di Aula Achmad Soebardjo KJRI Johor Bahru, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sigit Suryantoro berkata, lebih 1,000 pembantu rumah Indonesia sudah diberi kebenaran dan permit kerja untuk bekerja sebagai pekerja domestik di negeri ini dengan mengikut syarat MoU yang ditandatangani, sehingga bulan ini.

Namun katanya, KJRI percaya masih ramai rakyat Indonesia yang menggunakan visa pelancong dan memasuki negara ini menerusi terminal feri antarabangsa sebelum bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini secara haram dan tanpa permit.

"Sekarang rakyat Indonesia yang mahu bekerja di Malaysia tanpa mendapatkan permit tidak lagi menggunakan laluan tikus sebaliknya menggunakan terminal feri antarabangsa dan kononnya masuk sebagai pelancong.

"Di terminal feri, akan ada majikan yang menunggu mereka sebelum dibawa ke lokasi pekerjaan dan hilang bekerja di Malaysia tanpa dapat dikesan. KJRI Johor Bahru tiada data berapa ramai golongan ini namun kita percaya ramai juga.

"Namun, tindakan ini hanya memudaratkan pekerja Indonesia dan majikan Malaysia kerana jika sebarang masalah berlaku, KJRI serta kerajaan Malaysia juga tidak dapat mengambil tindakan tegas sebagaimana jika mereka ada permit yang sah," katanya.

Sigit Suryantoro turut menyeru majikan dan rakyat Indonesia tanpa permit kerja sah supaya segera membuat permohonan bagi mendapatkan dokumen diperlukan.

"Apabila ada dokumen dan permit kerja lengkap, bukan sahaja rakyat Indonesia akan berasa lebih selamat dan tenang ketika bekerja, malah majikan juga akan mendapat kualiti pekerja yang produktif yang mana MoU itu sendiri ia akan memberi perlindungan yang baik, 'scope of work' juga jelas ada syarat jam bekerja.

"Jadi ia beri perlindungan bukan sahaja pada pekerja malah majikan juga," katanya.

Awal Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga akhir tahun ini berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi program berkenaan, semua pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berada di negara ini diberikan pilihan untuk pulang atau bekerja dengan tampil berdaftar yang akan dikenakan caj bayaran tertentu.

Saifuddin dilaporkan berkata, di bawah Pelan Rekalibrasi Pati dilaksanakan sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 418,649 Pati berdaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang PATI bagi Program Rekalibrasi Pulang.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 4:32pm
d