mutakhir

Masalah banjir kilat tidak pernah selesai [METROTV]

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Bukan sekali dua, namun saban tahun kediaman penduduk kawasan perumahan di Kampung Melayu, di sini, dilanda banjir kilat.

Kawasan perumahan yang terletak di sebelah Sungai Mengkibol dan berdekatan pusat bandar itu pasti akan terkesan setiap kali hujan lebat dan berterusan.

Tempoh hujan lebat sejam sahaja cukup membuatkan kawasan perumahan dinaiki air gara-gara sistem saliran longkang yang tak sempurna.

Seorang mangsa banjir, Sulastri Kasiman, 40, banjir kilat ini adalah kali kelima dialami dengan kali terakhir melanda tahun lalu apabila air banjir naik hingga 0.3 meter di kawasan berkenaan.

"Hujan berterusan dan tak berhenti, ketika air naik, kami sudah memasak lebih 20 jenis lauk pauk, jadi kami terpaksa membuka kedai seperti biasa.

"Memang risau takut jualan tidak laku tetapi kami berserah pada Allah. Pelanggan yang datang hari ini juga terpaksa mengharung banjir untuk menjamu selera.

"Cuma kejadian banjir kali ini pertama kali dialami di restoran pada waktu pagi kerana selalunya banjir kilat berlaku pada petang dan ketika hari kedai tutup," katanya yang mengusahakan restoran di kawasan itu sejak 17 tahun lalu.

Katanya, mereka berharap pihak berkuasa mengambil berat isu itu kerana ia tak pernah selesai hingga menjejaskan perniagaannya.

Dalam pada itu, hujan lebat yang berterusan melebihi sehari menyebabkan seramai 26 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kluang yang juga Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid berkata, PPS dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana.

"PPS SJKC Ping Ming dibuka pada 11 pagi tadi yang menempatkan seramai 18 mangsa daripada enam keluarga dari sekitar Yap Tau Sah.

"Pada masa sama, PPS SMK Seri Perdana turut yang menempatkan lapan mangsa," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 5:12pm
d