mutakhir

Banjir di Johor semakin buruk [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Banjir di negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa melonjak kepada 1,093 daripada 198 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, setakat jam 4 petang ini.

Ia berbanding hanya 422 penduduk daripada 120 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS di Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir terkini itu meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua jam, yang mana pada jam 2 petang hari ini hanya terdapat 422 mangsa dilaporkan ditempatkan di lapan PPS.

"Segamat mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 975 orang dari 273 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

"Lapan PPS dibuka di Segamat adalah Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (104 mangsa), Dewan Kampung Sungai Gatom Labis (59 mangsa) dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (68).

"Lima lagi PPS di Segamat adalah Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil (123), Balairaya Kampung Seberang Batu Badak (17), Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang Labis (477), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun (72) dan Balairaya Kampung Usaha Jaya (55)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Kluang turut mencatat penambahan dua PPS baru, menjadikan empat PPS dibuka di daerah itu.

Ia membabitkan Sekolah Agama Seri Tengah 1 (36) dan Kampung GSA Chamek (4), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (8) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming (27).

"Sementara di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 43 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan Monsun Timur Laut (MTL), Johor diramalkan antara negeri yang terus berada dalam amaran bahaya sehingga esok.

Keadaan cuaca di negeri ini juga hujan berterusan sejak Subuh tadi dengan tiada tanda menunjukkan ia akan reda dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, tiga sungai di Segamat terus merekodkan paras melebihi paras bahaya atau merah, iaitu Sungai Gemas (19.04 meter), Sungai Lenik (6.40 meter) dan Sungai Segamat (37.97 meter).

Selain itu, Sungai Kahang di Kluang turut mencatat di atas aras bahaya dengan catatan 14.41 meter.

Manakala dua lagi sungai di Segamat menghampiri paras bahaya iaitu Sungai Muar (19.76 meter) dan Sungai Labis (40.53 meter).

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 6:01pm
d