mutakhir

Banjir Johor: Tiga jalan ditutup untuk kenderaan ringan [METROTV]

Oleh Izz Laily Hussein

Kota Tinggi: Tiga jalan di Kota Tinggi ditutup kepada kenderaan ringan susulan banjir yang melanda daerah itu, hari ini.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, setakat ini, tiada jalan utama yang terputus, namun tiga jalan ditutup untuk kenderaan ringan.

"Tiga jalan berkenaan adalah Jalan Ladang Siang; Jalan Lok Heng - Sungai Mas dan Jalan Perani," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Desaru Utama di sini, hari ini.

Hazlina berkata, terdapat lima PPS dibuka di daerah itu yang mana tiga daripadanya masih melalui proses pendaftaran.

Katanya, banjir kali ini berpunca daripada pertembungan hujan yang berterusan dari tengah malam semalam dengan air pasang sekali gus menjadikannya lebih besar berbanding banjir bulan lalu.

"Jika Disember lalu, hanya dua PPS dibuka, tetapi kali ini lima PPS akan dibuka. Dua PPS sudah selesai proses pendaftaran iaitu di Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang menempatkan enam keluarga dan 43 mangsa.

"Sebuah lagi di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama yang mana terdapat 40 keluarga di sini, manakala tiga lagi PPS masih dalam proses pendaftaran," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah memberi sumbangan kepada keluarga yang terjejas di PPS dan agensi seperti polis serta bomba sudah bersiap sedia di lokasi panas yang berkemungkinan banjir.

"Kita sebenarnya ada 65 'hotspot' banjir dan semua agensi seperti polis dan bomba sudah bersiap sedia dan kira-kira 500 kekuatan bersedia jika kemungkinan banjir berlaku," katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar @ Jaafar berkata, Southern Volunteer (SV) memberi bantuan tenaga kerja dan bakul makanan di seluruh negeri.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 8:11pm
d