mutakhir

Polis buru banduan lolos Pusat Koreksional Jasin

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Jasin: Polis giat mengesan banduan lelaki yang meloloskan diri Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, kehilangan Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan, jam 2.20 petang.

Menurutnya, banduan terbabit kes samun itu sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

"Polis menerima laporan kehilangan banduan itu pada 7.03 malam yang dibuat pengadu selepas menyedari kehilangan suspek semasa dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

"Berdasarkan laporan itu, tahanan terbabit dilihat kali terakhir memakai baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar," katanya ketika dihubungi, di sini.

Mohd Fadzli berkata, sejurus menerima laporan, polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

Katanya, siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian hingga menyebabkan tahanan lolos, dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tahanan ini diminta menyalurkan maklumat kepada kepada polis atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 8:57am
d