mutakhir

Kajian pemberian subsidi penternak ayam di peringkat akhir [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan dalam peringkat akhir kajian bagi menentukan kaedah berkesan dalam pemberian subsidi penternak ayam daging dan ayam penelur sebelum ia dapat dilaksanakan semula.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata keputusan mengenai kaedah pemberian subsidi berkenaan dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat sebelum pengumuman mengenainya dapat dibuat.

"Perkara itu sedang dibincang di peringkat beberapa kementerian, kita kena duduk bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta beberapa kementerian berkaitan lain.

"Subsidi kepada penternak ini sudah lama berjalan dan ada permintaan supaya dikaji subsidi ini supaya pergi kepada subsidi bersasar. Ini di peringkat kajian akhir, ia akan diumumkan pada masa terdekat, nantilah keputusan itu," katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam hingga Disember 2022 pada kadar 80 sen sekilogram (kg) bagi ayam daging dan lapan sen bagi sebiji telur.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keputusan itu dibuat bagi meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan terutama kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos anak ayam, logistik, pekerja, utiliti dan ubatan.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan bahawa subsidi berkenaan akan sampai kepada penternak yang terbabit secara langsung dalam industri berkenaan.

"Kita akan pastikan subsidi akan sampai kepada pemain industri, jika kita terima aduan subsidi ini tidak sampai, maka pegawai kita akan bertindak," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 3:26pm
d