mutakhir

Konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Singapura nyaris dihanyutkan banjir

Oleh Omar Ahmad

Mersing : Konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Singapura berdepan detik cemas, apabila beberapa motosikal yang ditunggangi nyaris dihanyut arus deras ketika meredah banjir di Jalan Nitar, di sini, hari ini.

Ketua Polis daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, berdasarkan maklumat, konvoi berkenaan dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang menuju ke Kuantan, Pahang.

"Setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian itu. Berdasarkan maklumat kejadian berlaku tengah hari tadi.

"Konvoi enam motosikal berkuasa tinggi itu dari arah Mersing ke arah Kluang. Ketika tiba di lokasi motosikal yang ditunggangi rosak.

"Kumpulan Konvoi itu dibantu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat tugasan di tugasan banjir di kawasan Kampung Jamari, Mersing.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. Konvoi terbabit meneruskan perjalanan dengan bantuan trak penunda," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tular sebuah video berdurasi 27 saat memaparkan beberapa individu menyelamatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan nombor pendaftaran Singapura yang dipercayai hanyut ketika cuba meredah jalan yang dinaiki air banjir

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 5:20pm
d