mutakhir

Kertas jadi arang

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Ubah kertas terpakai menjadi arang bakar. Walaupun ia kedengaran mustahil, namun berjaya dibuktikan hasil inovasi kreatif guru Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang, di sini.

Guru Penyelaras Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Hamidah Mat mendapat idea menghasil produk diberi nama alat Tablet Bio Arang selepas mendapati banyak kertas terpakai di sekolahnya.

Hamidah berkata, Tablet Bio Arang diciptanya itu mampu mengatasi masalah pembuangan kertas terpakai selain menggunakan tumbuhan kering sebagai bahan bakar.

"Daripada ia dibuang begitu sahaja, saya cuba hasilkan sesuatu produk bermanfaat. Ciptaan ini sangat mesra dan apabila ditukar kepada tenaga, ia dikenali sebagai biojisim.

"Malah, ia sumber yang murah kerana hanya perlu menggunakan kertas terpakai di sekolah serta mengumpul daun, ranting dan rumput di kawasan sekolah," katanya.

Hamidah berkata, arang kertas ciptaannya boleh menggantikan arang sedia ada untuk menyalai, membakar sate atau sebagai bahan bakar dapur arang.

"Ia juga boleh digunakan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) serta industri pemprosesan makanan. Ia turut boleh digunakan sebagai bahan bakar bagi dandang atau boiler.

"Jika ia dikomersilkan, alat ini boleh digunakan sebagai sumber tenaga pemanas (heater) untuk air panas selain ia juga sangat menjimatkan bagi bahan bakar janakuasa elektrik mini di kawasan pedalaman," katanya.

Tambahnya, antara kelebihan lain ciptaannya adalah kurang pelepasan karbon, abu dan asap yang kurang, pembakaran lebih cekap dengan haba lebih tinggi serta menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Mengulas mengenai penghasilannya, Hamidah berkata, langkah pertama adalah mengumpul semua bahan berkenaan sebelum diproses menjadi cebisan kecil dan direndam dalam air selama beberapa hari.

"Bahan itu kemudian dimampatkan dan dikeringkan. Ia boleh digunakan sebagai arang. Malah, ia boleh dijadikan Multi Tablet Serai Wangi dengan menambah ekstrak serai wangi," katanya.

Guru subjek Sains itu berkata, ciptaannya itu pernah menjadi johan dalam pertandingan inovasi peringkat negeri pada 2018 seterusnya menjadi wakil Negeri Sembilan ke pertandingan peringkat kebangsaan sebelum dinobatkan sebagai naib johan pada 2019.

"Untuk produk multi tablet, kami mendapat anugerah emas dalam pertandingan International Conference of Young Scientist 2019 dan beberapa anugerah serta kemenangan lain.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang terbabit terutama Guru Besar, Suziana Awaluddin serta murid yang membantu projek ini," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 7:03am
d