mutakhir

Perak mahu wujudkan pusat proses nadir bumi [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan pusat pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sebagai langkah meneroka peluang besar dalam sektor perlombongan mineral bernilai tinggi di pasaran dunia itu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia berperanan sebagai aktiviti industri hiliran bagi penghasilan semi-produk serta produk akhir yang lebih bernilai tinggi berbanding hasil produk mentah NR-REE.

"Perak sudah meneroka peluang besar dalam sektor perlombongan NR-REE yang juga bahan mineral bernilai tinggi di pasaran dunia dengan pelaksanaan projek perintis di Kenering, Hulu Perak.

"Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan pusat pemprosesan NR-REE di negeri ini sebagai aktiviti industri hiliran bagi menghasilkan semi-produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi berbanding produk mentah NR-REE," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Executive Talk dan Amanat dan Perutusan Tahun Baharu 2023 bersama penjawat awam negeri di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri juga sudah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula peruntukan RM20 juta bagi kajian deposit bagi mengetahui potensi sumber mineral lain di Perak.

Pada sidang media selepas itu, Saarani berkata, peruntukan itu pada mulanya sudah diluluskan sebelum ia senyap tanpa sebarang perkembangan.

"Peruntukan sudah ada tetapi 'silent' (senyap) akhirnya. Jadi kita sudah minta balik sebab kita yakin bukan sekadar (nadir bumi) lantanid, tetapi banyak lagi sumber mineral ada di Perak.

"Jadi, dengan peruntukan RM20 juta, ia membolehkan kita untuk mengkaji deposit bagi mineral lain, Mudah-mudahan mereka (Kerajaan Persekutuan) bermurah hati kerana benda itu (peruntukan) memang sudah lulus," katanya.

Ditanya berkaitan lokasi mineral NR-REE lain yang dijumpai di Perak selain di Kenering serta jangkaan projek itu bermula, Saarani bagaimanapun enggan mendedahkannya buat masa ini.

Pada 23 Mei 2022, Saarani dilaporkan media mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di Hulu Perak.

Selanjutnya, pada 26 Ogos 2022, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi mengesahkan, 1.687 juta tan sumber NR-REE bernilai lebih RM90.5 bilion, dianggarkan mampu diperoleh kerajaan negeri melalui projek perlombongan nadir lantanid.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 1:32pm
d