mutakhir

Nyaris maut langgar lembu jantan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Muhammad Adeeb Husaini Razali, 19, hampir kehilangan nyawa selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lembu jantan di Jalan Pekan-UMP dekat Peramu, di sini kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan motosikal yang dinaikinya musnah namun Muhammad Adeeb berkata pemilik lembu itu berjanji memberikan wang bagi menggantikannya.

"Seolah muncul hikmah di sebalik kejadian kemalangan yang berlaku malam kelmarin, apabila saya berpeluang memiliki motosikal baharu sebagai gantian motosikal jenis Honda Wave 100R yang musnah.

"Saya bersyukur walaupun kemalangan itu menyebabkan motosikal musnah tidak boleh dibaiki lagi, pemilik lembu mengambil tanggungjawab untuk menggantikan dengan yang baharu dalam masa terdekat.

"Selain membayar ganti rugi, pemilik berkenan turut membayar kos rawatan saya dan dua rakan lagi yang turut terbabit dalam kemalangan itu. Pemilik lembu terbabit bertemu saya di hospital Pekan ketika menerima rawatan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam kelmarin, tiga penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan nyaris maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan seekor lembu jantan bersaiz besar.

Kejadian di laluan gelap di hadapan Pusat Giat Mara Pekan itu berlaku apabila motosikal dipandu Muhammad Adeeb Husaini melanggar lembu yang berada di atas jalan menyebabkan motosikalnya musnah dan dia pengsan selepas kemalangan itu.

Muhammad Adeeb Husaini berkata kejadian berlaku ketika dia bersama enam rakannya menaiki empat motosikal dalam perjalanan pulang ke asrama selepas selesai makan dengan dia memandu sendirian mengetuai perjalanan itu.

"Kejadian berlaku sekelip mata dan pantas. Saya tak ingat apa-apa selepas kejadian kerana pengsan, cuma ingat merempuh lembu bersaiz besar berwarna hitam yang berada atas jalan.

"Selepas melanggar haiwan itu saya tersungkur diatas jalan. Hentakan yang kuat itu menyebabkan saya pengsan sebelum dibawa ambulans ke Hospital Pekan," katanya yang juga pelajar tahun satu jurusan mekanikal dan sedang dalam persiapan menghadapi peperiksaan.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan dia terpaksa menerima 11 jahitan pada bibir dalam mulut selain kecederaan pada bahagian muka, tangan dan kaki.

Muhammad Adeeb Husaini berkata, keluarganya memutuskan membawa dia pulang ke Ipoh, Perak semalam bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, rakannya iaitu Ahmad Irfan Fahmi Romziman, 19, berkata dia yang menunggang motosikal bersama Muhammad Aqil Safiy Arif, 19 terjatuh diatas jalan selepas cuba mengelak

Muhammad Adeeb Husaini yang terbaring atas jalan selepas melanggar lembu.

"Saya mengalami cedera pada bahagian tangan dan kaki dan motosikal juga rosak. Namun saya bersyukur tidak mengalami kecederaan serius

"Malah pihak UMP juga memberi perhatian pada kami dengan memberi semua bantuan yang diperlukan termasuk rawatan susulan," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 1:52pm
d