mutakhir

Kakitangan PBT nafi beri keterangan bercanggah [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini didakwa atas tuduhan memberi keterangan bercanggah semasa perbicaraan kes rasuah pegawai polis, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi kenyataan yang tidak selaras kepada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat berkaitan suapan wang tunai dalam perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan JS Kalvinderjit Singh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, pada 18 Januari lalu, antara jam 2.40 petang hingga 3.30 petang.

Kenyataan diberikan itu tidak selaras dengan penyataan asal diberi tertuduh kepada Penolong Penguasa SPRM Mohd Rosly Mohd Saupi di Pejabat SPRM Melaka pada 18 Februari 2020.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM 2009, yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000 atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Beliau juga mencadangkan syarat tambahan iaitu penjamin bukan ahli keluarga serta tertuduh dikehendaki melapor diri sekali sebulan di Pejabat SPRM Melaka.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu jaminan paling minimum kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM3,500 sebulan.

Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM4,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 10 Februari depan bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 2:16pm
d