mutakhir

'Sudah lali dengan fenomena air pasang' [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penduduk di Kampung Pantai Dasar, Sabak, di sini, sudah lali dengan fenomena air pasang besar yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

Menurut penduduk kampung berkenaan, Mohamad Abdullah Ghazali, 37, berkata, fenomena air pasang besar sudah biasa berlaku di kampung ini dan kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam tadi menyebabkan limpahan air laut di kawasan sekitar, malah ada juga rumah penduduk yang dimasuki air.

"Ketika kejadian saya tidak berada di rumah kerana keluar bekerja, namun adik memaklumkan mengenai kejadian fenomena air pasang itu dan terkejut apabila melihat kawasan di sekitar kampung dilimpahi air laut.

"Bagaimanapun, fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi tidak membabitkan pertembungan air hujan dan ia surut sepenuhnya jam 1.30 pagi tadi, namun kami tetap berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh belum berakhir," katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Dasar, Sabak, di sini, hari ini.

Manakala bagi peniaga kedai makan, Hasnah Bakar, 61, berkata, selepas Isyak malam tadi, dia yang berada di dalam rumah merasai gegaran berikutan ombak yang kuat menghempas benteng batu yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya.

"Kami sekeluarga sudah biasa dengan kejadian air pasang besar dan sememangnya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk berhadapan apa jua kemungkinan kerana bimbang benteng batu yang menjadi penahan ombak pecah jika dibadai ombak besar.

"Setiap kali berlakunya air pasang besar, kami akan lebih berwaspada, tambahan pula berpengalaman menghadapi tragedi tsunami kecil pada tahun 2014 dan pada ketika itu banyak kediaman penduduk yang mengalami kerosakan," katanya.

Sementara itu, Baihaqi Samsudin, 36, berkata, fenomena air pasang besar itu adalah perkara biasa bagi penduduk yang tinggal pesisir pantai dan ia kebiasaannya berlaku beberapa kali setahun bergantung kepada keadaan cuaca.

"Sebelum benteng penahan ombak dibina pada tahun 2006, terdapat kira-kira 20 rumah penduduk yang sudah tenggelam dan berada di dalam laut kerana dihanyutkan ombak besar.

"Selepas pembinaannya kini, sudah banyak kali berlaku air pasang menyebabkan kejadian ombak besar.

"Namun dengan adanya struktur batu konkrit yang dibina ini, kira-kira 42 kediaman penduduk yang masih ada terselamat daripada dihanyutkan ombak besar," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 2:29pm
d