mutakhir

Terkejut dapat pencen penakat, tidak tahu isteri carum SKSSR

Oleh Rosli Ilham

Dungun: "Jaga anak kita baik-baik, jangan lupa pendidikan mereka. Kita orang susah, pastikan anak-anak kita berjaya," itu pesanan terakhir Zaidah Awang yang meninggal dunia akibat kanser payu dara.

Zaidah adalah seorang suri rumah meninggal dunia pada 31 Disember tahun lalu akibat kanser payu, namun suaminya tidak menyangka wanita itu adalah pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Berikutan kematian Zaidah, suaminya Mohd Zaki Ali, 53, layak mendapat Faedah Pencen Penakat RM300 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Mohd Zaki yang bekerja sebagai buruh berkata, isterinya itu disahkan mengalami kanser pada Julai tahun lalu dan selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu, Zaidah tidak menunjukkan sebarang tanda untuk sembuh.

"Sebelum dan selepas pembedahan, isteri sering menjalani kemoterapi namun keadaannya semakin lemah serta bahagian dada sehingga ke paras pinggang sebelah kanan badan menjadi kejang.

"Dia tidak dapat berbuat apa-apa dan sering mengadu sakit dan tidak mahu lagi ke hospital kerana dia mahu meninggal di rumah," katanya selepas menerima sumbangan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat daripada Pengurus Perkeso Dungun, Mohd Sabri Ramli di rumahnya di Kampung Gong Pasir, hari ini.

Mohd Zaki berkata, dia berusaha memujuk isterinya itu sehinggalah isterinya bersetuju sebelum dimasukkan ke Hospital Dungun.

"Selama dua hari menjalani rawatan di Hospital Dungun, keadaan kesihatannya tidak berubah dan akhirnya meninggal dunia. Dia sering pesan supaya saya gigih bekerja demi membiayai persekolahan dua anak, Muhammad Zul Izham, 13, dan Nur Syazatul Suriana, 10.

"Pendapatan saya tidak menentu dan sekitar RM1,000 sebulan namun tidak cukup untuk membiayai perbelanjaan harian termasuk perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah serta menanggung ibu saya, Gayah Omar, 80, yang sudah uzur dan tinggal bersama.

"Saya langsung tidak tahu arwah isteri ada mencarum dengan Perkeso sehinggalah saya dihubungi pegawainya yang memaklumkan isteri layak menerima sumbangan itu," katanya.

Sementara itu, Mohd Sabri berkata, arwah Zaidah adalah peserta eKasih secara automatik layak sebagai pencarum SKSSR yang diperkenalkan Perkeso pada 1 Disember tahun lalu dengan caruman sebanyak RM120 setahun.

Menurutnya, selain sumbangan Faedah Pengurusan Mayat, suami mangsa juga layak mendapat Faedah Pencen Penakat sebanyak RM300 sebulan.

"Ini adalah kes pertama di Terengganu yang mencarum melalui skim (SKSSR) dan pihak kami berharap lebih ramai suri rumah mencarum demi masa depan mereka.

"Setakat ini, seramai 10,287 peserta eKasih dan i-Suri dicarum melalui skim SKSSR di negeri Terengganu," katanya.

Katanya, sehingga Disember tahun lalu, Perkeso daerah Dungun menguruskan sebanyak 2,511 kes dan sudah membuat bayaran faedah berjumlah RM4.3 juta.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 4:53pm
d