mutakhir

Lapan tahun bercerai tapi masih tinggal bersama

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Sudah bercerai sejak lapan tahun lalu, namun masih tinggal sebumbung dengan bekas isteri dan dua anak tanpa rujuk.

Itu tindakan seorang kontraktor berusia 48 tahun yang menerima padah apabila dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi cegah maksiat di Limbongan, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pemeriksaan dilakukan hasil aduan awam daripada Ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) mengenai pasangan itu yang tinggal sebumbung walaupun sudah bercerai.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, pihaknya menyerbu ke lokasi terbabit kira-kira jam 1 pagi sebelum mendapati lelaki itu dan bekas isterinya berumur 52 tahun, tinggal bersama anak lelaki dan perempuan berusia 14 dan 17 tahun.

"Semakan mendapati mereka sudah bercerai pada 2015 namun terus tinggal bersama walaupun tidak pernah merujuk semula.

"Justeru lelaki itu dan bekas isterinya yang juga peniaga makanan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman," katanya dihubungi di sini.

Che Sukri berkata, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

"JAIM berterima kasih kepada orang awam dan ahli RASEIM (Rakan Setiaku JAIM) yang terus membantu menyalurkan maklumat bagi mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

"Kita mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai RASEIM melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2023 @ 5:50pm
d