mutakhir

Zul Huzaimy bakal 'hadiahkan' RXZ Catalyzer RM43,000 kepada rider bertuah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Motosikal RXZ Catalyzer milik pelakon Zul Huzaimy yang berharga RM43,000 bakal menjadi rebutan pembeli baju Melayu keluaran sebuah syarikat.

Kenderaan milik pelakon itu yang dibeli daripada seorang pempengaruh itu disediakan sebagai hadiah cabutan bertuah sepanjang empat bulan pembelian baju Melayu itu yang baharu dilancarkan di pasar raya KB Mall di sini, hari ini.

Zul Huzaimy ketika ditemui berkata, sebagai rakan kongsi syarikat itu, beliau berbesar hati untuk menjadikan motosikal yang dianggap vintage sebagai hadiah utama.

"Motosikal keluaran 2009 itu baru dibeli seminggu lalu dan sebagai seorang yang berjiwa rider tak ada rasa sayang langsung untuk menghadiahkan orang ramai motosikal itu.

"Motosikal RXZ Catalyzer ini juga adalah simbolik kepada imej mat motor termasuk saya dalam masa yang sama menggalakkan pembelian baju Melayu dalam kalangan remaja," katanya kepada pemberita.

Zul Huzaimy berkata, selain sibuk dalam bidang seni, dia juga menghabiskan hujung minggu dengan kumpulan motosikalnya dan kini sedang dalam rangka jelajah konvoi motosikal yang dinamakan Bike Fest Borneo.

Disiarkan pada: January 28, 2023 @ 3:52pm
d