mutakhir

Angkara khianat, conteng ancaman 'no park'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Juruacara wanita kerugian RM500 selepas keretanya di hadapan rumah kedai di Taman Pusat Kepong, di sini, dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan daripada wanita warga tempatan berusia 27 tahun itu pada 7.16 malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa meletakkan keretanya di hadapan sebuah rumah kedai pada 1 pagi.

"Keesokannya, lebih kurang 9 pagi, ketika mangsa ingin mengambil kereta, dia mendapati tayar keretanya tiada angin, manakala terdapat tong sampah besar berwarna hijau diletakkan di atas bumbung keretanya.

"Selain itu, terdapat beberapa biji botol arak dan sampah sarap diletakkan di atas bumbung kereta mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga dapati nombor plat keretanya dicabut manakala cermin kanan bahagian penumpang diconteng dengan cat hitam yang tertulis perkataan no park (tidak boleh parkir).

"Anggaran kerugian dialami mangsa lebih kurang RM500. Hasil semakan CCTV di kawasan itu, mendapati kelibat seorang lelaki berkeliaran di kawasan berhampiran yang disyaki melakukan perbuatan khianat ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan melakukan khianat.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Polis kini dalam usaha mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul 03- 40482222.

Disiarkan pada: January 28, 2023 @ 4:59pm
d