mutakhir

'Geran tanah tinggal kenangan, tapak rumah hanyut ke laut' [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Bachok: Lebih 100 penduduk membabitkan 20 rumah di Kampung Pantai Damat, di sini, hidup dalam ketakutan sejak tiga tahun lalu berikutan hakisan pantai yang berlaku semakin teruk dan membimbangkan.

Masalah itu berlaku sejak lebih 10 tahun lalu yang mengakibatkan belasan rumah penduduk tenggelam menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke kampung lain dengan kawasan hakisan membabitkan lebih 1 kilometer (km) sepanjang tempoh itu.

Penduduk, Mohd Razi Mat Hussin, 49, berkata hakisan yang berlaku semakin teruk sehinggakan pondok yang baru siap dibina tahun lalu kini hanya menunggu masa untuk ranap.

"Jika sebelum ini, luas mata memandang lagi kawasan tanah di sini untuk sampai ke pantai, namun disebabkan hakisan, belasan rumah sudah tenggelam dan kebanyakan penduduk berpindah ke kampung lain.

"Geran tanah penduduk kini hanya tinggal kenangan semata-mata kerana tapak rumah mereka sudah menjadi laut.

"Justeru, kita bimbang sekiranya keadaan hakisan semakin teruk sebagaimana dalam tempoh tiga tahun ini, kemungkinan kebanyakan rumah di sini akan mengalami nasib yang sama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, sudah banyak aduan dibuat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang dibuat.

Penduduk, Hassan Abdul Rahman, 75, pula memaklumkan dia dan anak serta cucu terpaksa menumpang bermalam di rumah anak saudaranya sejak seminggu lalu berikutan ombak kuat.

"Sudah seminggu ombak kuat dan memang takut untuk bermalam di rumah lebih-lebih lagi rumah saya paling berisiko.

"Saya berharap pihak berkaitan tampil membuat benteng bagi mengelak hakisan berlaku lebih teruk kerana hanya rumah ini sahaja yang saya ada untuk berteduh," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2023 @ 2:35pm
d