mutakhir

Remaja ditemui maut

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Remaja ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam pangsapuri di Puchong Utama, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.21 malam itu, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan remaja berusia 13 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sebelum kejadian remaja berkenaan dikatakan dimarahi ibunya kerana beliau mempunyai telefon pintar tanpa kebenaran dan sering keluar malam.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa terjatuh dari tingkap dapur rumah dan meninggal di tempat kejadian.

"Mangsa adalah pelajar tingkatan satu merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan dan diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

"Bedah siasat dijangka akan dijalankan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Serdang hari ini selepas lawatan dan pemeriksaan tempat kejadian oleh patologi forensik.

"Orang ramai yang melihat kejadian boleh tampil salurkan maklumat melalui pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2023 @ 1:50pm
d