mutakhir

Ajal dua beradik keluar beli donat

Oleh Nuraliawati Sabri

Jasin: Seorang bapa tidak menyangka hasrat dua anaknya yang keluar untuk menikmati donut bertukar tragedi apabila mereka maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Gapam, di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 4 petang itu, Hijjaz Kasturi Ramli, 19, dan kakaknya Nurul Faqihah Ramli, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa, Ramli Merat, 46, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak sulung dan keduanya itu kira-kira sejam selepas mereka meminta izin keluar ke Ayer Keroh untuk menikmati donut.

"Kakaknya teringin untuk makan donut dan dalam 3.30 petang mereka minta izin dari saya emaknya untuk keluar. Mereka kelihatan seperti biasa cuma adiknya seakan berat hati untuk pergi.

"Ketika menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan anak terbabit kemalangan, saya beranggapan cuma kemalangan biasa sahaja, namun sebaik tiba di tempat kejadian hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan ini melihat tubuh anak di atas jalan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin, hari ini.

Menurut bapa kepada lima anak itu, kedua-dua anaknya memang rapat dan selalu keluar bersama-sama namun tidak sangka semalam adalah kali terakhir mereka bersalam sertaberbual.

"Tiada perubahan ketara ditunjukkan mereka cuma apa yang saya perasaan adalah Hijjaz, dalam seminggu, dua ini dia banyak membantu saya serta uruskan hal berkaitan perniagaan berbanding sebelum ini tidak begitu serius.

"Malah untuk menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi juga agak berat untuk kami sekeluarga tanpa mereka berdua. Walaupun masih terkejut, namun saya reda dengan pemergian dua anak selain menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian," katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Jasin Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke Ayer Keroh.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa disyaki hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu terbabas melanggar batang pokok.

"Akibat daripada itu, penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang manakala pembonceng pula tercampak di tengah jalan dan kedua-dua mereka disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2023 @ 2:09pm
d