mutakhir

Mangsa banjir isi masa lapang dengan pelbagai aktiviti di PPS

Oleh BERNAMA

Mersing: Mangsa banjir yang menginap di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing, di sini, mengisi masa lapang mereka dengan pelbagai aktiviti psikopendidikan dan psikoterapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain menjadi saluran menghilangkan kebosanan akibat 'terkurung' di PPS berkenaan, Siti Rohani Abdul Jalil, 37, dari Kampung Bahagia berkata, aktiviti seperti mewarna batik dan menyulam yang disertainya merapatkan lagi hubungan dengan penduduk kampung.

"Saya sebagai seorang yang bekerja syif, sebelum ini memang tiada masa untuk kenal rapat dengan jiran-jiran. Walaupun banjir ini satu bencana, tapi ada hikmahnya bila kini saya boleh beramah mesra dengan mereka melalui aktiviti sebegini," kata jururawat di Hospital Mersing itu kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bagi Shariah Talib, 44, dia mengambil peluang untuk turut serta dalam aktiviti JKM itu bagi meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anaknya.

Wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu juga berkata dia berterima kasih kepada JKM kerana walaupun berdepan musibah banjir, sekurang-kurangnya kini dia dapat menebus masa bersama keluarga.

"Seronok juga bila sebenarnya dapat luangkan masa dengan anak-anak ini walaupun hanya sekadar mewarna poster atau bermain UNO bersama mereka," katanya.

Sementara itu, Puteri Nurain Kamila Megat Hasni, 10, berkata, walaupun sudah tiga hari tinggal di PPS berkenaan, dia tidak bosan kerana adanya pelbagai aktiviti menarik disediakan JKM.

Selain menyertai pelbagai jenis permainan, pelajar Tahun Empat itu tidak melupakan tanggungjawabnya untuk mengulang kaji pelajaran dan kali ini ia lebih menyeronokkan kerana boleh melakukannya bersama rakan sekelas yang juga menginap di PPS berkenaan.

Terdahulu, Pengarah JKM Negeri Johor Mohamad Hapil dilaporkan berkata, jabatan itu selaku Ketua Jawatankuasa Aktiviti di PPS, berperanan melaksanakan sokongan psikologi, intervensi krisis dan menjalankan aktiviti bagi mangsa di PPS.

Beliau berkata, dengan menjalankan aktiviti di PPS, misalnya dapat membantu dari segi pengurusan emosi mangsa banjir serta mengisi masa lapang supaya perasaan mereka stabil ketika di PPS.

Disiarkan pada: January 30, 2023 @ 2:54pm
d