mutakhir

40 rumah percuma untuk veteran tentera kurang kemampuan [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kajang: Kementerian Pertahanan akan membina 40 rumah percuma untuk veteran tentera kurang kemampuan dan belum memiliki kediaman melalui Program Rumah Peduli Veteran, tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara.

Menurutnya, ia adalah kesinambungan usaha dilakukan sejak tahun lalu yang sudah membina 25 rumah dengan setiap unit dianggarkan bernilai antara RM65,000 sehingga RM85,000.

"Kita cuba kekalkan Rumah Peduli Veteran yang mana kita sudah bersetuju membangunkan 40 rumah (tahun ini) yang diberikan percuma kepada veteran yang mempunyai tanah sendiri.

"Bagi mereka yang tiada tanah tetapi kalau ada ahli keluarga yang memberi kebenaran dia membuat rumah kita benarkan," katanya pada sidang media selepas melawat veteran Tentera Darat Malaysia (TDM) Safaruddin Suhaimi di Taman Semarak Sungai Chua, di sini, hari ini.

Safaruddin, 62, yang kudung kaki kanan kerana jerangkap samar semasa Op Gubir 1985 kini menghidap kanser usus tahap dua selain turut disahkan mempunyai ketumbuhan paru-paru.

Adly berkata, permohonan pembinaan rumah itu akan ditapis berdasarkan garis panduan ditetapkan termasuk garis kemiskinan negara melalui e-kasih selain pendapatan dan tanggungannya termasuk bilangan anak dan masih bersekolah.

Katanya, rumah berkenaan mempunyai tiga bilik dan satu bilik air dengan pihaknya sudah menerima permohonan dari seluruh negara.

"Kita akan lihat kelayakan mereka dan membuat semakan supaya veteran yang layak mendapat manfaat penempatan ini. Kita yakin akan dapat melaksanakan dan mencapai sasaran (menyiapkan 40 rumah) tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyantuni lebih 200,000 veteran di seluruh negara dan turut bekerjasama melalui JHEV ATM dan persatuan di peringkat negeri bagi memastikan golongan itu mendapat bantuan selayaknya mengikut keperluan.

"Di samping itu kita juga melihat kepada pendidikan anak veteran dan sedang merangka dermasiswa supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lebih baik dan tersusun untuk masa depan veteran juga," katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 2:51pm
d